ADELAIDE: Pejabat Ombudsman Sarawak memperkukuh kerjasama dua hala dalam aspek tadbir urus dan pengurusan aduan awam menerusi siri lawatan kerjanya ke Australia dengan mengadakan pertemuan rasmi bersama Pejabat Ombudsman Australia Selatan di Adelaide.
Pertemuan selama dua jam bermula 9.30 pagi itu memberi fokus kepada pendekatan pengurusan aduan awam, amalan siasatan, serta mekanisme penambahbaikan integriti sektor perkhidmatan awam di Australia Selatan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya menerusi satu kenyataan berkata, selain berkongsi pengalaman, sesi tersebut turut memberi peluang kepada delegasi Sarawak memahami sistem semakan rayuan berkaitan kebebasan maklumat yang turut dikendalikan oleh Ombudsman Australia Selatan.
Sepanjang sesi perbincangan, kedua-dua pihak meneliti strategi terbaik dalam pengurusan aduan berimpak tinggi, penggunaan teknologi dalam sistem siasatan, serta langkah-langkah bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem penyampaian kerajaan.
Dalam pada itu, perbincangan itu turut menyentuh peluang kerjasama antarabangsa dalam aspek pembangunan kapasiti, latihan serta perkongsian kepakaran selaras dengan keseragaman sistem pentadbiran negara Komanwel yang berasaskan sistem Westminster.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh tadbir urus berintegriti melalui pelaksanaan Ordinan Ombudsman Sarawak 2023.
Pejabat Ombudsman Sarawak yakin bahawa pendekatan dan pengalaman yang dipelajari daripada Pejabat Ombudsman Australia Selatan akan menjadi rujukan penting dalam meningkatkan mutu serta keberkesanan sistem pengurusan aduan di Sarawak, sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Hadir sama, Ketua Ombudsman Sarawak Dato Sri Abdul Ghafur Shariff serta barisan Ombudsman dan pegawai kanan Pejabat Ombudsman Sarawak.