PERTH: Pejabat Ombudsman Sarawak terus memperkukuh usaha meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti pentadbiran awam menerusi lawatan kerja rasmi ke Equal Opportunity Commission (EOC) di Perth, Australia.
Menurut kenyataan media Pejabat Ombudsman Sarawak pada Rabu, lawatan di bawah program Sarawak Ombudsman Working Visit to Australia itu memberi fokus kepada pembelajaran amalan terbaik antarabangsa dalam pengurusan aduan serta mekanisme penyelesaian yang responsif kepada rakyat.
Delegasi Sarawak diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti & Ombudsman), Dato’ Murshid DiRaja Datuk Dr Juanda Jaya, bersama Ketua Ombudsman Sarawak, Dato Sri Abdul Ghafur Shariff, serta barisan ombudsman dan pegawai kanan.
Selain perbincangan rasmi dengan Western Australian Commissioner for Equal Opportunity, Dr John Byrne, delegasi turut diberi taklimat terperinci mengenai dasar, prosedur, dan sistem penyelesaian aduan yang diamalkan EOC untuk memastikan keadilan dan ketelusan.
Dalam lawatan itu, delegasi dibawa meninjau operasi harian EOC, termasuk ruang mediasi yang direka bagi menjaga keselesaan pengadu serta memastikan keselamatan pegawai ombudsman sepanjang proses penyelesaian.
Menariknya, pejabat tersebut turut mengupayakan penglibatan pegawai Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai bukti bahawa prinsip kesamarataan dan inklusiviti dilaksanakan secara nyata dalam persekitaran kerja.
Perbincangan mendalam turut menyentuh peranan institusi ombudsman dalam memperkukuh tadbir urus awam, potensi kerjasama Sarawak–Australia pada masa hadapan, serta strategi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pengendalian aduan di Sarawak.
Lawatan ini selari dengan komitmen Kerajaan Sarawak di bawah Ordinan Ombudsman Sarawak 2023 dan Post-COVID-19 Development Strategy (PCDS) 2030 untuk menyediakan perkhidmatan awam yang lebih cekap, telus, inklusif dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.