KUCHING: Ombudsman Sarawak memperkukuhkan lagi kerjasama dua hala bersama Ombudsman Parlimen Denmark menerusi satu kunjungan hormat antara kedua-dua pihak, di sini, pada Khamis.
Ketua Ombudsman Sarawak Dato Sri Abdul Ghafur Shariff berkata, pertemuan ini akan meningkatkan lagi pertukaran amalan terbaik serta meneroka peluang baharu bagi pembangunan kapasiti dalam pemantauan tadbir urus awam.
“Ini menjadi platform strategik untuk memperdalam hubungan kolaboratif antara Ombudsman Sarawak dan Ombudsman Parlimen Denmark, khususnya dalam memantapkan keberkesanan institusi ombudsman dan mengukuhkan prinsip tadbir urus yang baik,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Dalam pertemuan tersebut, beliau mengetengahkan beberapa isu dan cabaran utama yang dihadapi oleh Ombudsman Sarawak sejak penubuhannya, termasuk kesedaran awam, kapasiti institusi serta keperluan meningkatkan kerjasama antara agensi bagi menyokong penyelesaian aduan yang lebih cekap dan berkesan.
Sementara itu, Ombudsman Parlimen Denmark yang diketuai Christian Britten Lundblad telah membantu menerangkan menyeluruh mengenai sejarah dan perkembangan institusi mereka yang pertama kali diperkenalkan dalam Perlembagaan Denmark pada tahun 1953.
“Institusi Ombudsman Denmark telah berkembang menjadi sebuah institusi teras yang menegakkan keadilan pentadbiran, kebertanggungjawaban, dan hak-hak rakyat,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Ombudsman Sarawak melihat kerjasama ini sebagai pemangkin kepada inisiatif masa depan, termasuk latihan profesional, pertukaran teknikal dan dialog aras pakar yang akan menyumbang kepada penambahbaikan berterusan dalam pentadbiran awam di Sarawak.
Turut hadir, Duta Besar Kerajaan Denmark ke Malaysia Kirstine Vangkilde Berner, Konsul Kehormat di Sarawak Aw Tai Hui, Timbalan Ketua Ombudsman Sarawak Alexander Unya Ambon serta tetamu kehormat lain.