KUCHING, 20 Julai – Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, bersama Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Fauziah binti Mohd Sanusi, pagi tadi berkenan menerima kunjungan hormat daripada delegasi Ombudsman Sarawak di Astana Negeri Sarawak.
Delegasi tersebut diketuai oleh Ketua Ombudsman Sarawak, Dato Sri Abdul Ghafur Shariff. Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Ketua Ombudsman Sarawak, Encik Alexander Unya Ambon, serta tiga Ahli Ombudsman Sarawak, iaitu Datu Buckland Bangik, Encik Albert Tang Yew Liong dan Puan Hajah Toieyah binti Haji Tioh.
Pertemuan yang berlangsung dalam suasana penuh mesra dan muhibah itu bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan baharu Ombudsman Sarawak, di samping mendapatkan pandangan serta nasihat daripada TYT Tun Pehin Sri berhubung usaha memperkukuh ketelusan pentadbiran, memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan awam serta meningkatkan integriti dalam tadbir urus negeri.
Dalam sesi pertemuan tersebut, TYT Tun Pehin Sri turut menerima dua buah penerbitan daripada Dato Sri Abdul Ghafur Shariff, iaitu Ombudsman Concept, Principles and Paradigms dan Sarawak Ombudsman Ordinance, sebagai rujukan berkaitan peranan serta fungsi institusi Ombudsman dalam memperkukuh tadbir urus yang baik.
Pertemuan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Ombudsman Sarawak dalam memperkasakan prinsip akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus yang berintegriti, selaras dengan aspirasi pembangunan Sarawak yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.
TYT Tun Pehin Sri dan YABhg. Toh Puan menzahirkan harapan agar Ombudsman Sarawak akan terus memainkan peranan sebagai institusi yang berwibawa dalam menegakkan integriti, keadilan dan ketelusan, sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran serta menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran Sarawak.
TAMAT
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)