MIRI, 12 Feb: Rakyat Sarawak disaran memahami prosedur serta tatacara operasi standard (SOP) ketika berurusan dengan agensi kerajaan bagi memastikan setiap perkhidmatan dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, tidak semua aduan berpunca daripada kecuaian atau salah laku penjawat awam, sebaliknya ada yang berlaku akibat salah faham terhadap prosedur yang ditetapkan.
“Kita melayan setiap aduan yang dikemukakan secara adil dan saksama. Namun, apabila Ombudsman menjalankan siasatan dan memerlukan dokumen, data atau saksi, semua pihak wajib memberikan kerjasama sepenuhnya.
“Sekiranya siasatan mendapati wujud unsur jenayah, perkara tersebut akan terus dirujuk kepada pihak polis kerana Ombudsman tidak mengendalikan kes jenayah,” katanya.
Menurut Juanda, Ombudsman Sarawak bukan sahaja berfungsi menerima aduan, malah turut berperanan memberi penjelasan serta mencadangkan penambahbaikan terhadap SOP yang didapati membebankan atau tidak lagi relevan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kefahaman rakyat terhadap saluran yang betul serta bidang kuasa agensi kerajaan mampu mengelakkan kekeliruan dan aduan berulang, sekali gus menyumbang kepada sistem pentadbiran yang lebih cekap dan adil.
“Ombudsman merupakan lapisan ketiga dalam sistem keadilan yang wujud dalam masyarakat kita,” katanya lagi.