MIRI, 12 Feb: Kerajaan Sarawak memberi jaminan setiap aduan rakyat berkaitan pentadbiran kerajaan tidak akan diketepikan, sebaliknya dinilai dan diambil tindakan sewajarnya melalui saluran Ombudsman Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, penubuhan Ombudsman Sarawak membolehkan rakyat menyalurkan ketidakpuasan hati secara terus berasaskan bukti dan fakta, tanpa sebarang unsur fitnah.
Menurutnya, penjawat awam di semua peringkat perlu memberikan kerjasama penuh sekiranya siasatan dijalankan termasuk menyerahkan dokumen, data serta maklumat berkaitan.
“Rakyat mempunyai hak untuk mendapatkan perkhidmatan yang adil dan beretika, manakala penjawat awam pula perlu mematuhi prosedur, SOP serta bertindak secara profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Program Sesi Town Hall Ombudsman Bersama Penjawat Awam Sarawak dan Komuniti Zon Utara (Miri), di sini, hari ini.
Menurutnya, salah tadbir merangkumi perbuatan menunda tindakan, menyimpang daripada prosedur, ketidakcekapan, penyalahgunaan kuasa serta permintaan imbuhan yang tidak sah.
Tambahnya, Ombudsman Sarawak berperanan sebagai instrumen penting dalam reformasi pentadbiran kerajaan selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Kita mahu Sarawak maju menjelang 2030, bukan sahaja dari segi pembangunan fizikal, tetapi juga memiliki sistem pentadbiran yang setara dengan negara-negara maju,” ujarnya.