TYT Terima Kunjungan Hormat Pejabat Ombudsman Sarawak

Posted on 14 Jan 2026
Source of News: Jabatan Penerangan Sarawak
TYT Terima Kunjungan Hormat Pejabat Ombudsman Sarawak
 

KUCHING, 14 Jan - Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menerima kunjungan hormat daripada Pejabat Ombudsman Sarawak, Jabatan Premier Sarawak di kediaman rasmi beliau, di sini.
Kunjungan dipimpin oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya, bertujuan memaklumkan peranan serta perkembangan Pejabat Ombudsman Sarawak sebagai sebuah institusi pengawasan bebas yang ditubuhkan di bawah Ordinan Ombudsman Sarawak, 2023,

Sebagai institusi yang diberi mandat untuk menangani salah tadbir, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam serta mempromosikan keadilan, ketelusan dan integriti dalam sektor awam, Pejabat Ombudsman Sarawak turut berkongsi kepada Tun Wan Junaidi mengenai pencapaian utama sepanjang tahun 2025 yang menumpukan kepada pembangunan institusi, libat urus pihak berkepentingan dan pembinaan kapasiti.
Antara pencapaian utama yang telah dilaksanakan termasuk penganjuran Sesi 'Town Hall' bersama agensi perkhidmatan awam, penganjuran Hari Ombudsman Sarawak 2025 serta lawatan kerja antarabangsa ke Sweden, United Kingdom dan Australia bagi mempelajari amalan terbaik pengendalian aduan dan penyiasatan.

Berdasarkan pencapaian tersebut, pihak delegasi turut memaklumkan kepada Tun Wan Junaidi bahawa program utama bagi tahun 2026 akan memberi penekanan kepada peluasan jangkauan dan kesedaran awam di seluruh Sarawak, pemantapan pengurusan aduan dan proses penyiasatan yang lebih efektif, latihan profesional berstruktur untuk meningkatkan kepakaran kakitangan serta libat urus serantau dan antarabangsa yang berterusan demi menyokong tadbir urus yang berpaksikan rakyat.
Dalam pertemuan tersebut, Tun Wan Junaidi turut diperkenalkan kepada pegawai-pegawai baharu Pejabat Ombudsman Sarawak termasuk Timbalan Ketua Ombudsman Sarawak yang menjalankan tugas Ketua Ombudsman Sarawak, Alexander Unya Ambon, Ombudsman Albert Tang Yew Liong dan Ombudsman Toieyah Tioh.

Turut hadir ialah isteri yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi; Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak, Jabatan Premier Sarawak, Wan Mohamad Wan Drahman;Penolong Pengarah Kanan Pejabat Ombudsman Sarawak, Sukri Mohtar serta pegawai-pegawai Pejabat Ombudsman Sarawak.


Oleh: Norhayati Sarkawi (BMKK)
Foto: Mohamad Rizal Matasan (BKVS)