KUCHING: Sokongan Ombudsman Perkhidmatan Parlimen dan Kesihatan (PHSO) United Kingdom banyak membantu pembangunan kapasiti dan kecekapan Ombudsman Sarawak (SO).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, PHSO mempunyai lebih 50 tahun pengalaman dalam menegakkan akauntabiliti dan keadilan dalam perkhidmatan awam.
Menurutnya, entiti itu merupakan badan bebas yang melapor terus kepada Parlimen, menyiasat aduan berkaitan Perkhidmatan Kesihatan Negara (NHS) dan jabatan kerajaan lain.
“Sehubungan itu, banyak persamaan dikenal pasti antara organisasi kita (SO), dan amat menggalakkan PHSO bersedia untuk melanjutkan modul latihannya, yang sebahagian daripadanya boleh disampaikan secara dalam talian.
“Sokongan ini akan banyak membantu pembangunan kapasiti dan kecekapan SO,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, SO telah memperoleh komitmen daripada PHSO United Kingdom bagi bantuan latihan dalam pengendalian aduan, yang bertujuan meningkatkan kapasiti operasi dan kecekapan penyiasatan.
Lawatan ini turut melibatkan penglibatan akademik di King’s College London dan University of Oxford, di mana delegasi meneroka perspektif masyarakat dengan lebih luas mengenai peranan ombudsman yang semakin berkembang dalam pentadbiran awam serta usaha membina kepercayaan awam.
Di King’s College London, Profesor Undang-undang Pentadbiran, Joe Tomlinson membentangkan hasil penyelidikannya mengenai landskap ombudsman di seluruh Eropah, mengetengahkan trend dalam keadilan pentadbiran dan penyelesaian pertikaian.
Sementara itu, di Oxford, Profesor Undang-undang dan Masyarakat di University of Kent serta Felo Bersekutu di Fakulti Undang-undang Oxford, Naomi Creutzfeldt, berkongsi pandangan tentang cabaran yang dihadapi institusi ombudsman serta strategi untuk mengurus jangkaan awam.
“Secara keseluruhan, lawatan ini membuahkan hasil yang sangat baik, meningkatkan peranan berkembar SO dalam penyiasatan dan advokasi dengan ketara,” tegas Juanda.
Dalam perkembangan berasingan, delegasi SO yang diketuai oleh Ketua Ombudsman Sarawak, Datuk Seri Abdul Ghafur Shariff telah menjalankan lawatan penanda aras ke Ombudsman Kesaksamaan (DO) di Stockholm.
Lawatan tersebut bertujuan bertukar amalan terbaik dan meneroka peluang untuk meningkatkan peranan Ombudsman dalam rangka kerja di Sarawak.
Ia turut menggalakkan hak yang sama rata serta memerangi diskriminasi merentasi bidang utama seperti pekerjaan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan awam, meliputi alasan seperti jantina, asal usul etnik, kecacatan, orientasi seksual dan umur.
Perbincangan berkenaan turut melibatkan pertukaran idea yang bermanfaat apabila kedua-dua pihak berkongsi pandangan tentang cabaran operasi, proses penyiasatan dan strategi kesedaran awam serta advokasi dasar.
Menurut Abdul Ghafur, beliau menekankan bahawa model Ombudsman Sweden yang matang menawarkan pengajaran bernilai untuk memperkukuhkan mandat Ombudsman di Sarawak.