Delegasi Sarawak ke Stockholm, belajar daripada kejayaan Ombudsman Sweden

Posted on 04 Nov 2025
Source of News: Utusan Borneo
Delegasi Sarawak ke Stockholm, belajar daripada kejayaan OmbudsmanSweden
 

KUCHING: Dato Sri Abdul Ghafur Shariff mengetuai delegasi Ombudsman Sarawak ke institusi Ombudsman Sweden di Stockholm, baru-baru ini.

Lawatan yang disifatkan sebagai penanda aras Ombudsman Sarawak itu suatu langkah tepat memandangkan institusi Ombudsman Sweden cukup terkenal dengan amalan yang mantap selama lebih dua abad berfungsi sebagai penanda aras global untuk pengawasan bebas dan akauntabiliti awam.

Dalam satu kenyataan, delegasi Ombudsman Sarawak telah mengkaji beberapa badan khusus yang boleh diguna pakai di Sarawak, antaranya Ombudsman Parlimen, Ombudsman Kesaksamaan (yang memerangi diskriminasi), Ombudsman Kanak-Kanak, Ombudsman Akhbar dan Ombudsman Pengguna.

Abdul Ghafur berkata, model Ombudsman Sweden sangat matang dan telah menawarkan pengajaran yang tidak ternilai untuk memperkukuhkan mandat Ombudsman Sarawak.

"Kerjasama ini akan memperkasakan kami untuk memerangi salah tadbir urus, menggalak, meningkat dan menerapkan prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam agensi perkhidmatan awam bagi mencapai tadbir urus yang baik di Sarawak.

"Ia bukan sekadar lawatan biasa, sebaliknya medan untuk kita saling bertukar amalan terbaik dan meneroka peluang untuk meningkatkan peranan ombudsman dalam rangka kerja di Sarawak," katanya.

Delegasi itu ujar beliau, telah diberi taklimat komprehensif daripada Timbalan Ombudsman Kesaksamaan Sweden Samuel Engblom mengenai kerangka kerja, skop dan operasi Ombudsman Kesaksamaan (DO).

DO dalam bahasa Sweden dikenali sebagai 'Diskrimineringsombudsmannen' merupakan sebuah agensi kerajaan bebas yang beroperasi bagi pihak Parlimen Sweden (Riksdag) dan kerajaan.

"Ia menggalakkan hak sama rata dan memerangi diskriminasi merentasi bidang utama termasuk pekerjaan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan awam meliputi alasan seperti jantina, asal usul etnik, kecacatan, orientasi seksual dan umur.

"Perbincangan turut dilanjutkan kepada pertukaran idea yang bermanfaat di mana kedua-dua pihak berkongsi pandangan tentang cabaran operasi, proses penyiasatan dan strategi untuk kesedaran awam dan advokasi dasar," kata Abdul Ghafur lagi.